YB Dr Rais Yatim sedang menerangkan sesuatu kepada salah seorang Penerima NJOI |
JEMPOL, 25 Jan 2013 - Pilihan raya umum (PRU)
akan datang akan menentukan masa depan negara yang lebih baik dan rakyat
diingatkan untuk memilih parti yang benar-benar mampu mentadbir negara.
Sebelumnya, YB Dr Rais juga telah menghadiri Program Jalinan Murni, Jom Masuk Kampung di Kg. Amar Penghulu, Jelebu. |
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pihak pembangkang amat mudah menyatakan pelbagai janji untuk meraih sokongan, namun sebenarnya mereka tidak mampu mentadbir negara.
"Mudah bagi pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdul Hadi Awang untuk berkata itu dan ini tapi mereka tidak mempunyai kemampuan.
"Boleh kita katakan bahawa mereka ini seperti bernafsu besar tapi tenaga tidak ada," katanya semasa berucap menyempurnakan majlis pelancaran program perluasan siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan - Astro Njoi ke perkampungan Orang Asli peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, di Kampung Sungai Sampo, di sini.
Katanya, pihak pembangkang sering mengutarakan untuk mengubah kerajaan bagi mentadbir negara, namun mereka tidak pernah menyatakan dasar mengenai hak orang asli dan hak orang Melayu seperti yang diperjuangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Rais berkata, jika semua perkara ini tidak disebut dalam perjuangan pembangkang, adakah cukup bagi rakyat untuk mengikut mereka menukar kerajaan, sedangkan kerajaan sedia ada sentiasa memperjuangkan kebajikan seluruh rakyat.
Justeru, katanya rakyat seharusnya bijak menilai dan diingatkan untuk menganggap pilihan raya akan datang sebagai satu perkara serius yang menentukan nasib dan masa depan bangsa, rakyat dan negara.
Dalam ucapannya Rais berkata, program perluasan siaran RTM dengan kerjasama Astro itu akan membolehkan masyarakat Orang Asli menikmati kemudahan siaran televisyen yang lebih baik.
"Dengan adanya perkhidmatan siaran televisyen dengan saluran daripada Astro Njoi ini masyarakat Orang Asli akan dapat menonton siaran televisyen dan mengemaskini pengetahuan mereka mengenai hal-hal semasa menerusi berita-berita terbaru," katanya.
No comments:
Post a Comment