Minat: Dr Rais Yatim yang memang minat menulis dan membaca, sempat singgah sambil meneliti buku-buku yang dipamerkan. |
Kementerian Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan bersedia membantu pengeluar, penerbit dan
penulis buku tempatan menerbitkan buku berkualiti tinggi untuk
dipasarkan ke luar negara.
Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian mempunyai peruntukan bagi tujuan itu di bawah Dana Industri Kreatif yang turut melibatkan dana bagi filem, drama, kraf, seni lukis dan seni visual.
"Kami mengesyorkan supaya dua hingga tiga buku berkualiti tinggi dapat diterbitkan dan kalau boleh, permohonannya dibuat segera dengan beberapa takrif teknikal data yang perlu disajikan," katanya.
"Panel harus berpuas hati bahawa buku itu berkualiti tinggi dan boleh dieksport. Dengan itu, harganya mereka akan tentukan, dana untuk dibantu juga akan ditentukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku 1Malaysia di sini pada Khamis.
Rais berkata sehingga kini permohonan untuk menggunakan dana itu bagi memasarkan buku berkualiti di luar negara masih belum diterima.
"Saya mengesyorkan supaya pengeluar, penerbit dan penulis memohon barang satu atau dua buku berkualiti yang boleh diketengahkan ke Berlin, London dan New York dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu," katanya.
Ditanya antara faktor tiada permohonan diterima bagi tujuan itu, Rais berpendapat ia mungkin kerana para pengiat industri kreatif lebih tertumpu kepada pengeluaran filem, drama dan animasi berbanding penghasilan buku.
"Jadi saya sebut ini supaya warga buku tak tertinggal dan sekurang-kurangnya ada buku berkualiti yang boleh dibanggakan," katanya, sambil menambah akan turut mempertimbangkan penerbitan ensiklopedia berkualiti tinggi.
Sementara itu, Rais berkata kementerian akan mengemukakan kepada kerajaan menerusi memorandum kabinet berhubung keperluan pengkalan data perbukuan negara bagi dikendalikan sebagai satu unit yang memudahkan semua pihak merujuk dan mendapatkan data berkaitan.
"Ia akan dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara dan mereka akan cuba mengendalikan pengkalan ini bagi membantu industri buku sama ada berkaitan eksport atau industri buku dalaman," katanya.
Rais juga berkata nilai jualan buku di Malaysia meningkat apabila pada 2011 mencatatkan nilai jualan buku kira-kira RM3.8 bilion berbanding RM1.9 bilion tahun sebelumnya.
"Yang kurang jelas ialah banyak mana daripada jumlah itu yang terlibat dengan eksport, ini hanya pembelian sahaja. Dari situ, dapat kita nyatakan pentingnya data itu supaya ada sistem analisis yang jelas bagi industri ini mara ke hadapan," katanya.
Terdahulu, ketika melancarkan buku 'Firdaus dan Firdaus' di sini, Rais menyarankan Perpustakaan Negara Malaysia menerokai pasaran teknologi buku elektronik (e-buku) bagi membantu penulis dan penerbit buku memasarkan karya masing-masing dengan lebih meluas.
Katanya perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan pasaran baharu itu sesuatu yang perlu ditembusi untuk memastikan sesuatu karya intelek dijulang di peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Rais berkata kementerian juga membelanjakan sejumlah RM15.5 juta dalam tempoh enam tahun bagi memberi galakan kepada penulis yang baru berkecimpung dalam bidang penulisan.
"Kita telah membeli lebih 17,000 judul, dan oleh kerana dasar ini baik, kita akan teruskan bagi membantu bakat-bakat baru menerbitkan dan menulis buku. Langkah ini dibuat kerana banyak pihak menghalang penjualan dan edaran buku di tanah air," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya satu bengkel diadakan bagi membincangkan hala tuju industri buku supaya kerajaan dapat memainkan peranan dengan lebih tepat untuk memberi galakan kepada penerbitan buku di negara ini.
Mengenai hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab buku di peringkat serantau, Rais berkata matlamat itu tidak akan dapat dicapai selagi soal penerbitan dan pemasaran buku dengan Indonesia tidak dapat diselesaikan dalam konteks persaudaraan atau negara berjiran.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan membangkitkan perkara itu ketika mengadakan lawatan kerja ke Manado, Sulawesi pada minggu hadapan.
"Dalam peluang di Manado pada minggu hadapan di mana kami akan bertemu dengan media sebahagian besarnya dari Indonesia dan Malaysia, kita akan cuba apungkan tajuk ini sebagai satu perkara penting dalam industri ilmu antara Malaysia dan Indonesia.
"Perkara tersebut pernah kita sebutkan dan seharusnya menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai hab atau pusat perbukuan memang logik tetapi bukan hanya Malaysia.
"Bagi Malaysia, kita perlu melihat dari sudut kepelbagaian bahasa - Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Mandarin dapat kita jadikan sebagai sumber perbukuan tetapi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kedua-dua negara ini perlu mempunyai satu garapan dasar," katanya.
Terdahulu, Rais menyampaikan peruntukan Dana Pembelian Terus Karya Penulis Tempatan berjumlah RM600,000 kepada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak, Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif dan Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia.
Sumber: raisyatim.my
No comments:
Post a Comment